PERINGKAT AWAL
Penubuhan sekolah ini dilhamkan oleh Jawatankuasa Gereja Basel daerah yang pada masa itu dikenali sebgai North Borneo Basel Self-Established Church District Council, bersama dua orang tokoh gereja tempatan iaitu En. Wong Kiam Fook Pengerusi Gereja pada masa itu, dan En. Tsen Tain Fook selaku Setiausaha.
Setelah perundingan terperinci diadakan di antara pemimpin gereja daerah dengan pemimpin gereja tempatan, maka tercapailah satu resolusi untuk menubuhkan sebuah sekolah aliran CIna, yang dinamakan Sikauti Lok Yuk Chinese Primary School pada tahun 1954.
PERSEDIAAN TAPAK
Pihak gereja telah mendapatkan sebidang tanah seluas 2.51 ekar atas nama Gereja Basel, khas untuk tujuan membuka gereja dan sekolah. Pada 26 Disember 1954, sekolah ini sah ditubuhkan dengan menggunakan bangunan gereja untuk mengadakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Pada 5 Januari 1955, sekolah ini dimulakan dengan rasminya dengan kira-kira 30 orang murid, dan seorang guru. Memandangkan tidak mendapat bantuan kewangan dari pihak kerajaan, sekolah ini membayar gaji guruh dan persediaan kemudahan sekolah melalui pembiayaan pihak gereja dan pungutan yuran sekolah dari murid-murid.
TAMBAHAN TENAGA PENGAJAR
Disebabkan oleh bilangan murid yang semakin bertambah, pihak sekolah telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendidikan untuk menghantar seorang guru terlatih, di mana gajinya akan dibiayai oleh pihak kerajaaan.
Permohonan tersebut telah diluluskan, maka pada tahun 1958, seorang guru terlatih yang bernama En. Wong Tzhun Siong telah dihantar ke sekolah ini.
TAMBAHAN BANGUNAN SEKOLAH
Pada tahun 1960, sebuah bangunan sekolah telah didirikan, yang mengandungi dua buah bilik darjah dan sebuah bilik guru.Walau bagaimanapun, bangunan gereja masih digunakan.
Memandangkan murid sekolah ini akan melanjutkan pelajaran selepas Tahun 4 ke Sekolah Lok Yuk Bandar Kudat yang beraliran Bahasa Inggeris, maka sekolah telah mengambil keputusan untuk beralih ke aliran Bahasa Inggeris pada tahun 1961. Sungguh pun demikian, Bahasa Cina masih menjadi mata pelajaran wajib.
Mulai tahun itu juga, sekolah ini telah menambahkan bilangan kelasnya kepada enam buah, yang meliputi Tahun 1 hingga Tahun 6 dan dikelolakan oleh seorang Guru Besar dan tiga orang guru.
Pada tahun 1967 sebuah lagi bangunan telah didirikan, yang mengandungi empat buah kelas. Bilangan murid juga bertambah kepada lebih dua ratus orang. Begitu juga dengan tenaga pengajar bertambah kepada sembilan orang dan seorang tukang kebun.
Pada tahun 1974, sekolah ini telah bertukar aliran sekali lagi. Kali ini kepada Bahasa Kebangsaan kita iaitu Bahasa Melayu, sehinggalah ke hari ini.